Lahirkan banyak karya bermutu, bernilai intelek




Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BERAKAS, Selasa, 7 Julai. - Melihat dari sudut pandang masa kini, walaupun bahasa Melayu telah didaulatkan sebagai bahasa rasmi, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat juga sebilangan masyarakat yang meragui akan kemampuan bahasa Melayu, terutama dalam urusan-urusan rasmi yang berkaitan dengan domain profesional, seperti pentadbiran, undang-undang atau perdagangan.


Tanggapan, pola fikir dan keraguan akan kemampuan bahasa Melayu perlu diubah dan perubahan itu hendaklah dipraktikkan dari hal-hal kecil yang nampak sederhana, tetapi memberi impak besar dalam kehidupan kita.


Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Bahasa 2026 (65 Tahun Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.


Bahasa, menurut Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, berperanan penting dengan cara seseorang berfikir, dan salah satu peradaban manusia terletak pada cara masyarakatnya menuturkan kata atau norma penggunaan bahasa, termasuklah ketertiban dalam berbicara.


Bahasa tumbuh dan berkembang dalam suatu persekitaran, yang di dalamnya terdapat segala macam budaya, pemikiran dan pandangan masyarakat jati yang menuturkannya, dan sebab itulah di negara ini muncul ungkapan 'Bahasa Jiwa Bangsa' yang dijadikan tema utama Sambutan Bulan Bahasa 2026 pada tahun ini kerana roh dan semangat kecintaan yang mendalam terhadap bahasa Melayu telah menjiwai sanubari kita sebagai cerminan identiti dan jati diri bangsa.


Yang Berhormat juga menggariskan bahasa yang produktif dan memiliki ciri keilmuan dapat melahirkan gagasan-gagasan baharu sebagai alat penghubung dan pembentuk variasi peradaban yang diwadahi oleh bahasanya.


“Semakin tertib penggunaan bahasa, semakin besar peranan bahasa itu sebagai jambatan menuju peradaban atau ketamadunan bangsa. Oleh itu, pembakuan bahasa sangat penting untuk menjadi sukat-sukat atau pemiawaian bahasa bagi sesebuah negara.


“Meskipun Negara Brunei Darussalam mempunyai tujuh puak yang berlainan dialek, tetapi tetap saja disatukan dalam satu penggunaan bahasa yang menjadi medium penyatu antara bahasa-bahasa lain yang terdapat di negara ini, iaitu bahasa Melayu Standard sebagai bahasa rasmi negara," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga menyatakan tidak salah untuk mempelajari bahasa asing atau bahasa pengantar kedua sebagai bahasa ilmu, dan tidak salah juga kita mencedok ilmu dari luar negara yang bukan Melayu, asalkan ilmu tersebut dapat dimanfaatkan, khususnya calak kebruneian, kerana salah satu cara untuk memajukan sesebuah negara ialah dari bahasanya yang mampu mengungkapkan ilmu dengan meletakkan kewibawaan kepada bahasa itu sendiri.


Yang Berhormat dalam ucapannya juga mengongsikan, satu daripada penanda aras terhadap kemajuan sesebuah negara ialah apabila sesebuah negara berupaya memekarkan kosa kata sebagai pengembangan terhadap bahasa negara.


“Namun, dalam keasyikan kita membina atau mewujudkan istilah, kosa kata atau terma-terma baharu yang semakin tumbuh subur, terutama di media sosial, janganlah kita lupa akan kaedah-kaedah pembentukan yang telah digarispandukan oleh institusi-institusi tertentu bagi memastikan keselarasan bahasa Melayu memiliki ciri keilmuan dan tatacara tertentu untuk dipatuhi.


“Selain itu, antara usaha lain bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu adalah dengan melahirkan banyak karya yang bermutu dan bernilai intelek, agar dapat menambah bahan rujukan yang masih terhad, berbanding bahan rujukan ilmiah daripada bahasa-bahasa asing yang lain," tegasnya.


Close